Oleh: Chee Heng Leng
Organisasi/ Individu: Inisiatif Kesihatan Rakyat/Forum Kesihatan Rakyat
Kod Polisi: 3i Kesihatan
Isu dan Polisi Semasa:
Kebanyakan rakyat Malaysia bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam yang sekarang ini sesak dan kekurangan dana. Kesesakan di hospital awam ditambah dengan kekurangan doktor pakar menyebabkan kelewatan dalam proses diagnosis dan rawatan. Ini turut memberi impak negatif kepada latihan doktor-doktor baharu justeru menyebabkan penurunan kualiti perkhidmatan serta semangat kakitangan perubatan. Kesesakan di hospital pusat berpunca daripada kekurangan doktor berpengalaman di klinik kesihatan dan hospital daerah menyebabkan pesakit mengelak dari fasiliti ini dan terus menghadiri hospital pusat. Sebelum pandemik COVID-19, rakyat Malaysia telah mengalami epidemik penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kritikal. Pengesanan dan kawalan NCD yang lemah di peringkat primer menyebabkan rawatan yang lebih mahal diperlukan pada peringkat sekunder dan kepakaran. Untuk menangani isu ini, perkhidmatan kesihatan awam harus disusun semula untuk mengutamakan saringan NCD dan rawatan yang berterusan. Selain itu, pesakit COVID-19 juga kebanyakannya dirawat di fasiliti awam. Perkhidmatan kesihatan awam dijangkakan menerima pertambahan pesakit berikutan (i) kes-kes COVID-19 yang disebabkan varian dan jangkitan walaupun telah menerima vaksin, (ii) kesan jangka panjang COVID-19 yang perlu dihadapi bekas pesakit COVID-19, dan (iii) pemindahan pesakit yang menerima kesan ekonomi negatif daripada pandemik dari fasiliti kesihatan swasta ke fasiliti awam.
Nilai-nilai & Kepercayaan
Perkhidmatan kesihatan berkualiti yang dibekalkan tanpa caj pada masa ia digunakan, dan tepat pada masa ia diperlukan adalah amat penting bagi menjaga status kesihatan penduduk Malaysia. Ini hanya dapat dicapai oleh kakitangan kesihatan yang bahagia, berdedikasi, dan mempunyai semangat yang tinggi.
Penyelesaian:
Memperluaskan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam dengan merekrut lebih ramai staf untuk meringankan beban kerja dan memperbaiki keadaan kerja. Walaupun penyelesaian jangka panjang memerlukan perubahan struktur, banyak perkara yang boleh dilakukan sebagai tindak balas segera dalam situasi krisis. Langkah pertama adalah mempertingkatkan bilangan staf kesihatan awam seperti jururawat, doktor, pakar dan kakitangan kesihatan bersekutu. Lebih ramai kakitangan pada peringkat primer, hospital, dan kepakaran diperlukan untuk berkhidmat di klinik kesihatan primer, hospital daerah dan hospital besar. Memandangkan kakitangan kesihatan turut dirangkumi oleh arahan JPA untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sebanyak satu peratus, maka pengambilan kakitangan baharu mestilah dilakukan secara bergilir. Pada tahun 2019, KKM telah membuat rayuan kepada JPA untuk dikecualikan daripada Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam (Dasar Pengoptimuman Sumber Manusia). Ini perlu dilakukan dengan segera agar perjawatan tambahan dapat ditambah untuk mengatasi kekurangan kakitangan kesihatan dan mengatasi kemerosotan kualiti perkhidmatan kesihatan awam. Bebanan kerja akan berkurangan dengan pertambahan kakitangan dan penambahbaikan dapat dilakukan seperti latihan dan pendidikan berterusan bagi kakitangan sedia ada. Ini akan mewujudkan keadaan yang baik dan berterusan untuk memperbaiki persekitaran kerja bagi kakitangan di hospital awam.
Sumber Rujukan:
–