Oleh: Chee Heng Leng
Organisasi/ Individu: Inisiatif Kesihatan Rakyat/ Forum Kesihatan Rakyat
Kod Polisi: 3i Kesihatan
Isu dan Polisi Semasa:
Sistem penjagaan kesihatan primer yang wujud di Malaysia telah menunjukkan keberkesanan yang baik terhadap kesihatan ibu dan anak, serta penyakit berjangkit akut. Walaubagaimanapun, kita sedang menghadapi epidemik penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) —penyakit jantung, diabetes, darah tinggi, strok, dan berjenis-jenis kanser. Ini dibuktikan dengan jurang jangka hayat golongan dewasa yang semakin luas antara Malaysia dan negara sebaya, dan prevalens tinggi faktor risiko seperti berat badan berlebihan dan obesiti (Malaysia menunjukkan kadar tertinggi di Asia Tenggara). Rawatan peringkat akhir untuk penyakit NCD di hospital adalah mahal dan pencegahan perlu dipertingkatkan dengan (i) memperluaskan promosi kesihatan yang berkesan, dan (ii) mempertingkatkan saringan dan rawatan pada peringkat perkhidmatan kesihatan primer supaya pesakit NCD dapat dikenalpasti lalu diberi rawatan pada peringkat yang lebih awal. Pada masa ini, tiada penyelarasan perkhidmatan kesihatan primer antara sektor swasta (GP, ataupun doktor perubatan am) dan sektor awam (klinik kesihatan awam). Selain tu, tiada wujudnya sistem dalam sektor awam yang membolehkan seseorang individu dirawat oleh doktor yang sama supaya kesinambungan rawatan dipastikan. Kesinambungan rawatan amat penting bagi penyakit NCD.
Nilai-nilai & Kepercayaan
People’s Health Forum (PHF) menegaskan bahawa polisi penjagaan kesihatan mesti berdasarkan keperluan kesihatan, bukan berdasarkan kemampuan membayar. Jadi, kami percaya, selaras dengan perlembagaan WHO (World Health Organisation), kerajaan sesebuah negara mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran bagi “tahap kesihatan tertinggi yang dapat dicapai sebagai hak asasi setiap manusia.”
Penyelesaian:
Penjagaan kesihatan primer di sektor swasta dan awam mestilah dipertingkatkan dan hubungan swasta-awam mestilah dieratkan. Doktor perubatan am (GP) di sektor swasta perlu digabungkan dalam perkhidmatan kesihatan awam dan insentif cukai perlu diberikan kepada doktor yang berkhidmat di luar bandar. Integrasi doktor perubatan am (GP) sektor swasta ke dalam sistem kesihatan awam dapat dilakukan dengan sistem kontrak antara KKM dan doktor perubatan am menggunakan kaedah pembayaran kapitasi yang merangkumi sejumlah pesakit dalam jangka waktu tertentu. Sistem kapitasi menjamin sebilangan pesakit tertentu kepada doktor perubatan am swasta. Mekanisme sistem kapitasi memberi insentif kepada doktor untuk mengekalkan kesihatan pesakit mereka dan tidak merawat dan memberi ubat secara berlebihan. Bonus boleh diberikan kepada doktor perubatan am yang menggalakkan pemeriksaan saringan kesihatan secara berkala sebagai langkah pencegahan di kalangan pesakit mereka. Pesakit yang tidak mampu mengguna klinik swasta sekarang akan diberi rawatan kesihatan di klinik swasta tanpa bayaran jika mereka setuju untuk ‘mengikat’ diri mereka kepada seseorang doktor atau sekumpulan doktor perubatan. Terdapat bukti saintifik bahawa kesinambungan rawatan yang diberikan oleh doktor yang sama memberi manfaat kepada pesakit. Sistem ini adalah lebih menyeluruh, dan merangkumi pengurusan penyakit kronik (rawatan susulan, ubat-ubatan biasa, ujian darah dan ujian-ujian lain seperti pemeriksaan mata untuk retinopati diabetik).
Sumber Rujukan:
–