Oleh: Karen Lai
Organisasi/ Individu: Pusat Perubahan Wanita, Pulau Pinang
Kod Dasar: 2c Wanita
Isu dan Polisi Semasa:
"Keganasan rumah tangga dan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak masih menjadi isu yang membimbangkan di Malaysia. Keadaan ini semakin meruncing akibat pandemik Covid-19 dan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan. Bilangan kes yang dilaporkan tidak menggambarkan keseluruhan masalah ini akibat kekurangan laporan yang dibuat. Tambahan pula, data yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak menyeluruh dan sukar diakses oleh orang awam, sekaligus mengaburi keseriusan masalah ini. Mangsa-mangsa keganasan domestik dan seksual menghadapi pelbagai halangan untuk mendapatkan keadilan. Meskipun terdapat peruntukan undang-undang yang melindungi mereka, mangsa-mangsa ini kerap kali tidak sedar mengenai hak mereka serta prosedur yang terlibat. Sekalipun jenayah-jenayah ini dilaporkan, ia tidak ditangani dengan berkesan oleh agensi-agensi kerajaan terlibat yang kurang bekerjasama sesama sendiri serta kurang peka atau prihatin sewaktu mengendalikan mangsa. Sikap negatif dan mentaliti menyalahkan mangsa juga tidak asing dalam situasi ini."
Nilai-nilai & Kepercayaan
Kebebasan daripada keganasan adalah hak asasi wanita dan kanak-kanak. Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab di bawah CEDAW, CRC, dan instrumen hak asasi antarabangsa yang lain untuk menegakkan hak-hak ini. Tindakan yang diambil mestilah merangkumi pendekatan berasaskan hak dan bukannya kebajikan semata-mata, serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat madani secara bermakna.
Penyelesaian:
"Agensi kerajaan perlu meningkatkan konsultasi dan dialog dengan NGO wanita dan kanak-kanak yang mengendalikan keganasan seksual dan berasaskan gender untuk mencapai tindakan yang lebih holistik untuk menangani isu-isu tersebut. Kerajaan perlu mengiktiraf peranan NGO yang menyediakan perkhidmatan kritikal kepada wanita dan kanak-kanak dengan memperuntukkan geran tahunan kepada NGO tersebut. Kerajaan perlu bekerjasama dengan NGO wanita bagi melatih agensi kerajaan supaya lebih peka dan profesional sewaktu mengendalikan mangsa keganasan seksual dan keganasan berasaskan gender. Kerajaan perlu bekerjasama dengan NGO wanita bagi meningkatkan kesedaran awam supaya orang awam dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyokong dan menangani isu keganasan seksual dan berasaskan gender. Agensi-agensi kerajaan perlu bekerja secara bersepadu untuk memastikan kesinambungan sokongan kepada mangsa untuk mengakses hak mereka. 6. Kerajaan perlu membangunkan sistem pengumpulan data yang komprehensif mengenai keganasan seksual dan berasaskan gender, termasuk data daripada NGO, dan sistem tersebut harus mudah diakses oleh orang awam, agar tindakan dan strategi yang lebih baik dapat dirangka."
Sumber Rujukan: