Oleh: Ir Dr Tai Tuck Leong
Organisasi/ Individu: Monsoon Malaysia
Kod Polisi: Pengangkutan 3k
Isu dan Polisi Semasa:
Jumlah penduduk akan menjadi penentu dalam mempertimbangkan jenis pengangkutan awam yang paling sesuai untuk pusat-pusat bandar.
Nilai-nilai & Kepercayaan
Perspektif Dalam Bandar – “Pengurangan Kesesakan dalam Pusat-pusat Bandar”
Penyelesaian:
"1. Bagi bandar-bandar yang mempunyai jumlah penduduk yang melebihi 400,000 orang, sistem rel yang berorientasikan pengangkutan massa harus diteraskan dalam sistem pengangkutan awam. Dalam bandar yang mempunyai tahap populasi tersebut, dianggarkan untuk menghasilkan permintaan sebanyak 5,000 hingga 8,000 penumpang/jam melalui koridor-koridor utama. Oleh sebab itu, sebuah sistem rel dalam bandar merupakan sistem yang paling sesuai untuk menampung permintaan yang dijangkakan itu. Contoh rel yang boleh dilaksanakan adalah dalam bentuk sistem trem atau sistem transit aliran ringan (LRT). 2. Untuk meningkatkan daya tarikan penggunaan pengangkutan awam di kawasan bandar, sistem pengangkutan ini harus disatukan bersama suatu sistem perantaraan yang efisien (membawa orang dari rumah mereka ke stesen keretapi dengan lancar) dan dilengkapi dengan kemudahan penyebaran yang berkesan (menghantar penumpang ke destinasi yang diingini dengan selamat dan pantas). Ini menunjukkan bahawa sistem pengangkutan awam yang efektif bukan hanya melibatkan sistem keretapi itu sahaja tetapi juga harus disokong oleh sistem bas perantaraan dan rangkaian laluan pejalan kaki yang sistematik sebagai contoh. Sebuah sistem rel tidak boleh berfungsi dengan efisien sekiranya dibangunkan tanpa memikirkan kemudahan-kemudahan lain, manakala, di sebaliknya, dengan mengintegrasikan semua mod pengangkutan yang lain, boleh menghasilkan suatu perkhidmatan yang boleh meningkatkan produktiviti penduduk. 3. Sistem tiket yang bersepadu bagi perkhidmatan bas dan keretapi serta kemudahan tempat letak kenderaan yang diintegrasikan untuk menghasilkan perjalanan yang lancar untuk penumpang. 4. Kemudahan ‘Park-and-Ride’ juga harus disediakan untuk menggiatkan peralihan dari penggunaan kenderaan persendirian ke penggunaan pengangkutan awam. 5. Untuk pembangunan kawasan bandar yang lebih mampan, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang koridor-koridor infrastruktur keretapi sedia ada harus digalakkan untuk meningkatkan perhubungan pengangkutan dalam kawasan bandar. 6. Pengangkutan awam harus diteraskan dalam sistem pengangkutan dalam bandar dan tidak boleh membenarkan kereta untuk merosotkan lagi keadaan infrastruktur jalan pada masa akan datang. 7. Untuk kawasan bandar yang mempunyai jumlah populasi sekitar 50,000 ke 400,000 penduduk, sistem bas merupakan sistem yang paling sesuai sebagai tulang belakang pengangkutan awam. 8. Jumlah permintaan perjalanan berdasarkan saiz populasi bergantung terhadap koridor perjalanan atau pusat bandar yang berkaitan. Keperluan jumlah bas boleh dianggarkan mengikut jumlah populasi kawasan tersebut. Secara amnya, sebuah bas boleh mengangkut sebanyak 800 penumpang dalam sehari atau 12 buah bas untuk populasi sebanyak 10,000 penduduk. 9. Sebagai contoh, kawasan bandar yang mempunyai populasi sebanyak 300,000 penduduk akan memerlukan perkhidmatan sebanyak 360 buah bas. Pada harga RM400,000 untuk sebuah bas, pelaburan tersebut akan berjumlah RM144 juta dan bersamaan dengan pembinaan jalan raya sepanjang 6 kilometer, pada kadar lazim sebanyak RM25 juta setiap kilometer. Dengan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion pula, jumlah ini boleh memenuhi keperluan pengangkutan awam untuk 10 pusat bandar dengan populasi sebanyak 300,000 penduduk seperti Sibu, Miri, Tawau, Sandakan, Kangar, Alor Setar, Melaka, Chukai, Kuala Terengganu dan Kota Bahru. 10. Bagi kawasan bandar dengan populasi yang kurang dari 50,000 penduduk pula, sistem bas mini lebih sesuai untuk dilaksanakan kerana saiznya yang membolehkan perkhidmatan yang lebih fleksibel untuk mencapai kawasan perumahan yang lebih dalam."
Sumber Rujukan:
–