Oleh: Badlishah Sham Baharin
Organisasi/ Individu: GBM/IKRAM
Kod Dasar: 2c Wanita
Isu dan Polisi Semasa:
Pengenalan PKP pada Mac 2020 telah menyebabkan wanita dan kanak-kanak berada dalam keadaan putus asa dan tidak berdaya. Sepanjang tempoh itu, berlakunya peningkatan jumlah kes keganasan rumah tangga dan ramai wanita mengalami tekanan mental yang luar biasa akibat terperangkap sama ada bersendirian atau bersama kanak-kanak dengan pelaku. Wanita juga menghadapi halangan dan kesukaran untuk membuat laporan kerana beberapa pegawai polis 'menasihati' wanita untuk menjaga suami dengan lebih baik untuk mengelak didera. Malah, ada yang menasihati mereka untuk menarik semula laporan yang telah difailkan ditambah pula dengan kurang sokongan keluarga dan sosial. Negara ini juga kekurangan rumah perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga dengan hanya dua pusat perlindungan yang dikendali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Oleh itu, pendekatan yang lebih bersepadu diperlukan daripada semua agensi berkaitan. Agensi-agensi ini juga perlu dilatih mengenai isu-isu sensitiviti jantina untuk membantu mengendali isu-isu keganasan rumah tangga
Nilai-nilai & Kepercayaan
Wanita membentuk separuh penduduk dan merupakan tenaga kerja penting negara kita. Oleh itu, wanita perlu dilayan selayaknya dengan penuh hormat dan empati. Apabila wanita didera di rumah, ini akan mewujudkan kitaran keganasan berikutan kanak-kanak mungkin akan mengikut sifat kasar yang telah dilihat atau mungkin menjadi mangsa penderaan. Isu ini telah kerap dikaji dan ditunjukkan dalam hasil kajian.
Penyelesaian:
"1. Memperkasa dan memperluas perkhidmatan model pusat sehenti krisis (OSCC) yang terdapat di hospital dan memperluas perkhidmatan OSCC ke klinik kesihatan tempatan yang mudah diakses supaya wanita tidak perlu pergi jauh untuk mendapat bantuan berikutan ramai wanita yang tidak berdaya terutamanya suri rumah. 2. Menambah bilangan pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengendalikan kes-kes keganasan rumah tangga. 3. Memperbanyak bilangan rumah perlindungan di seluruh negara. 4. Kempen anti-keganasan rumah tangga dalam kalangan masyarakat, tempat kerja, sekolah, kejiranan, tempat ibadat dan lain-lain. "
Sumber Rujukan: