2G4-5 Memperkukuh Perlindungan Buruh untuk Pelarian dan Pencari Suaka

Oleh: Tham Hui Ying

Organisasi/ Individu: Asylum Access Malaysia

Kod Dasar: 2g4 Pelarian & Pencari Suaka

Isu dan Polisi Semasa:

Disebabkan tiada kerangka undang-undang yang formal, pelarian dan pemohon suaka dinafikan hak bekerja serta mencari rezeki untuk hidup dengan bermaruah di Malaysia. Pelarian hidup dalam kemiskinan yang melampau, dieksploitasi di tempat kerja, dan terpaksa mengambil pekerjaan yang tidak formal malah mendedahkan diri mereka dengan keadaan kotor, bahaya, dan menyusahkan hidup mereka. Pelarian dan pemohon suaka tidak mendapat sebarang bantuan sara hidup atau keperluan asas daripada kerajaan Malaysia ataupun UNHCR. Oleh itu, ramai di antara mereka yang terpaksa bekerja di sektor tidak formal ini walaupun berisiko dan takut ditangkap, ditahan serta menghadapi gangguan polis pada kebanyakan masa. Pelarian tiada perlindungan pekerjaan dan tidak mempunyai tempat untuk menuntut hak apabila dieksploitasi oleh majikan mereka. Pelarian wanita juga melaporkan isu gangguan seksual dan keganasan seksual oleh majikan. Kerajaan Malaysia pernah melaksanakan beberapa program pekerjaan berskala kecil di industri yang khusus, tetapi kita masih tidak dapat melihat penilaian dan keberkesanan program-program ini dalam menangani hak pekerjaan golongan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.

Nilai-nilai & Kepercayaan

Pelarian dan pemohon suaka harus diberi peluang untuk berdikari dan menikmati taraf hidup yang bermaruah. Meningkatkan perlindungan buruh dan sosial akan membolehkan pelarian mencari nafkah, menyumbang kepada ekonomi secara sah dan mencegah eksploitasi di tempat kerja.

Penyelesaian:

"1. Menguatkuasakan perlindungan buruh bagi pekerja golongan pelarian dan pemohon suaka dan memastikan mereka mendapat mengganti-rugi (‘seek redress’) di atas sebarang pelanggaran hak buruh, selari dengan Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perindustrian. Juga perlu ada polisi dan garis panduan yang jelas serta latihan yang mencukupi di seluruh jabatan dalam mengendali kes pertikaian buruh yang difailkan oleh pekerja pelarian/pemohon suaka. 2. Membangunkan polisi/kerangka komprehensif untuk pengurusan dan perlindungan pekerja pelarian dan pemohon suaka di Malaysia. Menggubal/meminda undang-undang dan polisi yang relevan yang boleh memberikan hak untuk tinggal, hak untuk bekerja, termasuk akses bekerja di sektor formal tanpa had industri dan lokasi, serta akses kepada faedah keselamatan sosial dan insurans. 3. Membentuk satu jawatankuasa teknikal yang merangkumi pihak Kementerian, UNHCR, dan masyarakat sivil untuk memperbaiki dan melembagakan koordinasi hak kerja bagi pekerja pelarian dan pemohon suaka. Boleh mengambil pendekatan bertahap dimana anggota jawatankuasa teknikal ini dapat memberikan maklum balas sepanjang proses dari fasa perancangan, pelaksanaan dan mengkaji semula. Jawatankuasa teknikal ini juga harus membuat perbincangan luas bersama-sama dengan komuniti pelarian dan majikan. 4. Kementerian Sumber Manusia harus memastikan ada satu sistem perekrutan dan pemantauan yang komprehensif di bawah Kementerian Sumber Manusia dilaksanakan bagi memastikan hak buruh pelarian dan pemohon suaka dilindungi daripada eksploitasi dan pemerdagangan manusia."

Sumber Rujukan:

~

ms_MYMalay
[gt-link lang="en" label="" widget_look="flags_name"]
[gt-link lang="ms" label="" widget_look="flags_name"]