Oleh: Brian Lariche, Amanda Kong
Organisasi/ Individu: Make It Right Movement (MIRM), Peguambela Masyarakat untuk Orang Kurang Upaya (OKU)
Kod Polisi: 2F PWD
Isu dan Polisi Semasa:
"• Statistik menunjukkan bahawa kadar kemasukan penuh bagi kanak-kanak kurang upaya (KKU) dalam sesi persekolahan arus perdana adalah kurang daripada 30% seperti yang disasarkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. • Walaupun terdapat penambahan pendaftaran KKU susulan daripada pelaksanan “Zero Reject Policy” pada tahun 2019, akses kepada pendidikan masih dibatasi dengan maksimum (3) tiga bulan tempoh percubaan bagi menentukan kesesuaian seseorang untuk hadir ke sekolah oleh panel di mana tidak melibatkan ibu bapa (Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013). • Sekolah mempunyai kapasiti yang terhad untuk menerima KKU berikutan daripada kekurangan sumber manusia terlatih dan sokongan sumber yang tidak mencukupi seperti ketercapaian bahan pendidikan untuk KKU dan kurikulum yang sesuai, selaras dengan keperluan atau kapasiti mereka. • Terdapat juga kekurangan kesedaran dan latihan disediakan kepada guru-guru untuk menguruskan KKU. Guru-guru yang mengambil kursus Pendidikan Khas pula kurang pengalaman dalam menyediakan panduan dan sokongan kepada KKU berikutan daripada pengetahuan yang terhad dalam sesuatu subjek. • Sistem pendidikan pada masa kini tidak menyediakan transisi kepada KKU terhadap penglibatan yang bermakna dalam masyarakat dan kehidupan mandiri selepas tahun persekolahan berikutan daripada kurikulum sempit dan haluan masa hadapan yang terhad buat mereka. • Terdapat juga kekurangan koordinasi sumber dan agensi kerajaan yang memfokuskan kepada integrasi antara golongan kurang upaya dengan masyarakat. • Sistem pendidikan tidak menyediakan atau membenarkan KKU untuk bergerak ke hadapan ke arah kebersediaan kehidupan dan pilihan kerjaya. Kurikulum yang sedia ada tidak selaras dengan spektrum kelainan upaya yang mereka ada."
Nilai-nilai & Kepercayaan
"Memandatkan pendidikan inklusif sebagai hal kepada semua KKU dengan meminda undang-undang dan dasar yang relevan; membentuk sistem sokongan yang holistik di sekolah bagi menggalakkan penyertaan penuh KKU. "
Penyelesaian:
"1. Meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 dan Akta Pendidikan 1996 bagi memandatkan pendidikan inklusif sebagai hak kepada semua KKU dan memansuhkan (3) tiga bulan tempoh percubaan bagi menentukan kesesuaian mereka untuk hadir ke sekolah. 2. Melaksanakan audit bebas bagi ketercapaian sekolah-sekolah untuk KKU dan memperuntukkan sumber-sumber yang diperlukan mereka seperti tandas mesra pengguna kelainan upaya dan menyediakan tanjakan bagi pengguna kerusi roda. 3. Menjalankan latihan kesedaran kelainan upaya untuk guru-guru bagi membolehkan mereka mereka memahami keperluan yang pelbagai bagi KKU serta cara untuk membentuk budaya inklusif di dalam bilik darjah. Program pemekaan kesedaran juga perlu diadakan untuk pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi. 4. Mewujudkan SOP dan garis panduan bagi memeriksa kesesuaian pengajar Pendidikan Khas sebelum memberikan tugas kepada mereka sebagai “guru sumber” dan “pembantu murid” (contoh: jurubahasa dan pembantu mobiliti) bagi KKU, dengan memastikan KKU diberikan panduan mencukupi dan sokongan melalui pendidikan mereka. 5. Menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang dapat diakses oleh KKU (buku teks dan buku rujukan) seharusnya dikemaskini dari semasa ke semasa, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. 6. Bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang relevan, badan awam dan swasta untuk membentuk haluan pendidikan untuk KKU selepas menamatkan pendidikan menengah misalnya, sijil kurikulum yang berfokuskan kepada pembangunan kapasiti dan pembentukan profesional, memberi tumpuan kepada kemahiran-kemahiran penting bagi meningkatkan kemampuan mereka dalam bergerak kehadapan ke arah penyertaan bermakna dengan masyarakat Malaysia. "
Sumber Rujukan: