Oleh: Lew Guan Xi
Organisasi/ Individu: ~
Kod Dasar: Belia 2d
Isu dan Polisi Semasa:
Berdasarkan soal selidik yang dijalankan pada tahun ini oleh Merdeka Center melalui pengundian pandangan orang awam, lebih dua pertiga daripada golongan belia tidak berminat untuk terlibat dalam politik. 78% daripada mereka menyatakan bahawa politik itu “rumit” dan 66% daripadanya menyatakan bahawa “ahli-ahli politik tidak menghiraukan pemikiran orang-orang seperti saya”. Selain itu, kecanggihan teknologi telah membawa kepada budaya hedonistik dalam kalangan belia, di mana mereka kurang kesedaran politik. Di samping itu, setakat tahun 2018, umur median ahli-ahli parlimen di Malaysia adalah 55.5 tahun dan ini merupakan satu kadar yang sangat tidak seimbang. Malahan, jurang generasi dan budaya paternalistik yang sedia ada dalam parlimen juga telah secara tidak langsung menindas pendapat ahli-ahli parlimen muda kerana kerisauan dilabel sebagai tidak menghormati warga tua. Kesemua faktor ini telah menyebabkan pelbagai masalah yang melibatkan golongan belia seperti pengangguran tidak dapat diselesaikan berikutan kekurangan wakil belia dalam parlimen.
Nilai-nilai & Kepercayaan
Konteks Malaysia pada masa ini terlalu konservatif kerana ahli-ahli parlimen yang bukan belia enggan menerima visi baharu. Saya memegang kuat kepada kepercayaan saya bahawa landskap politik di Malaysia perlu menjadi lebih muda supaya negara ini dapat menjadi lebih terbuka dan liberal.
Penyelesaian:
"1. Topik-topik yang berkaitan dengan literasi politik perlu ditambah ke dalam sistem pendidikan terutamanya dalam mata pelajaran sejarah. Selain daripada pengajaran peristiwa-peristiwa silam dan iktibar-iktibar yang dapat diperoleh, guru-guru juga perlu membandingkan peristiwa silam dengan situasi semasa di Malaysia bagi memupuk corak pemikiran politikal pelajar-pelajar sejak kecil. Jenis-jenis sistem politik, ideologi, dan falsafah juga perlu dimasukkan ke dalam silibus. 2. Meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk menetapkan kadar umur calon-calon pilihan raya daripada setiap parti politik. Kadar yang saya cadangkan ialah 30% mereka yang berumur di antara 21 hingga 40 tahun, 30% berumur di antara 41 hingga 60 tahun, dan 40% berumur 61 tahun dan ke atas. Ini adalah cara untuk beralih kepada kada umur yang lebih seimbang dalam landskap politik. 3. Rang Undang-Undang Undi18 perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk membenarkan perlindungan perundangan terhadap hak-hak politik golongan belia. Saya di sini ingin menggalakkan semua belia untuk mula menyokong landskap politik yang lebih muda serta mula mempelajari dan menceburkan diri anda dalam politik untuk masa hadapan negara yang lebih cerah."
Sumber Rujukan:
References https://www.malaysianow.com/news/2021/05/07/most-youths-dont-care-about-politics-politicians-survey-finds/ https://www.malaysiakini.com/news/438194