2A-1 Pindaan/Mansuhkan Undang-undang Menindas untuk Memperkasakan Kebebasan Bersuara

Oleh: Lew Guan Xi

Organisasi/ Individu: ~

Kod Dasar: 2a Kebebasan Bersuara

Isu dan Polisi Semasa:

Berdasarkan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2021, Malaysia telah jatuh sebanyak 18 anak tangga dari 101 pada tahun 2020 ke kedudukan ke-119 pada tahun 2021 daripada 180 negara. Ini merupakan kedudukan yang paling rendah dalam sejarah Malaysia menurut statistik yang dipaparkan oleh Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ). Menurut IFJ, justifikasi bagi situasi ini ialah pandemik Covid-19 di mana Ordinan Darurat yang mengandungi Akta Pencegahan Berita Palsu telah menjejaskan kebebasan bersuara. Akta ini menjadikan mana-mana orang “yang melalui apa-apa cara, dengan niat untuk menyebabkan, atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam” sebagai penjenayah. Ayat ini adalah tidak jelas dan membolehkan kerajaan untuk sewenang-wenangnya melabelkan mana-mana suara rakyat sebagai “berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam”. Beberapa akta lain yang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga boleh dikaitkan dengan masalah yang sama.

Nilai-nilai & Kepercayaan

Kebebasan bersuara adalah sangat penting dalam demokrasi kerana ia mewujudkan ruang untuk memberi perhatian kepada pendapat yang berlainan. Pemerkasaan tanggungjawab sosial bukanlah alasan kerajaan untuk menindas pendapat-pendapat yang bersifat kritikal bagi memenuhi agenda politik mereka.

Penyelesaian:

Walaupun Akta Pencegahan Berita Palsu tidak lagi berkuat kuasa selepas Ordinan Darurat ditamatkan, beberapa akta lain yang bersifat menindas masih memerlukan perhatian kerajaan. Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan kerana mengandungi terlalu banyak kesamaran dengan akta-akta yang lain seperti Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan ini telah memberi kuasa kepada kerajaan untuk sewenang-wenangnya menghalang penerbitan pelbagai kandungan yang bermanfaat kepada rakyat tetapi bersifat kritikal terhadap kerajaan. Panduan-panduan yang lebih jelas perlu ditambah dalam akta-akta sedia ada termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Rahsia Rasmi 1972. Sebagai contoh, dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, perkataan-perkataan dan frasa-frasa yang boleh dikatakan sebagai bersifat menyinggung perlu ditambahkan supaya akta tersebut menjadi lebih spesifik. Jawatankuasa Media Malaysia juga perlu ditubuhkan untuk membenarkan swakawalan dalam kalangan media untuk memperkasakan kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial. Saya menyeru semua kakitangan dan pengguna media agar bangkit dan mula menerbitkan kandungan yang berkaitan dengan isu yang telah terangkan di atas untuk meningkatkan kesedaran orang awam dan mendorong kerajaan untuk melakukan perubahan pada dasar-dasar yang sedia ada.

Sumber Rujukan:

Rujukan https://www.ifj.org/media-centre/news/detail/category/asia-pacific/article/malaysia-press-freedom-drops-to-new-low.html https://asset.mkn. gov.my/web/wp-content/uploads/sites/3/2021/03/Ordinan-Anti-Berita-Tidak-Benar-20211.pdf https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General /pdf/Act588bi_3.pdf

ms_MYMalay
[gt-link lang="en" label="" widget_look="flags_name"]
[gt-link lang="ms" label="" widget_look="flags_name"]